Pah'n'Chek memang seorang wanita yang jiwanya kental. Dia adalah kekanda kepada nenda ku, namun dia lah yang membersarkan bonda. Pada cerita-cerita bonda, aku kagumi kekuatan yang ada pada nenda. Pah'n'Chek turut jua membesarkan cucunda yang kini rapat, tak ubah seperti ahli keluarga kami.
Berlatarbelakangkan Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak sekitar 1980an, pada mana aku masih di bangku sekolah rendah lagi dan kami selalu apabila cuti tiba, akan ke Kuala Kangsar menaiki bas ekspress. Paling mengimbau kenangan bandar diraja ini ialah apabila kami tiba sahaja di pekan Kuala, kami tidak pernah melepaskan peluang menikmati laksa dan cendol yang kini, dua tahun lepas aku ke sana, sudah tiada lagi gerai tersebut. Kami kemudian akan menaiki kereta sapu yang popular di bandar-bandar kecil menuju ke rumah nenda. Dalam perjalanan, bonda akan bercerita tentang salasilah keluarga kami, tentang istana lama yang bonda tuju untuk mengaji semasa kecilnya, dan tentang kisah sultan-sultan pada masanya yang kerap mengadakan jamuan untuk rakyat jelata.
Rumah nenda luas kawasannya, di kelilingi kebun getah dan halamannya terdapat sebatang pokok rambutan yang tinggi merimbun dengan buah rambutan yang meranum tatkala tiba musimnya. Malamnya, kawasan ini agak menggerunkan kerana lampu jalan kekadang menyala, kekadang tidak, namum, bila terpasang, cahanya tidak sekuat mana.
Seperti rumah tradisi Perak, rumah ini dua lapis. Tangga berwarna merah tidak ubah seperti tangga yang terdapat di rumah tradisi Melaka. Pintu masuk terlalu unik untuk aku gambarkan keindahan ukiran yang terdapat padanya, begitu jua tingkap-tingkap yang terdapat dirumah ini. Jadi di ataslah ruang tamu, dan satu bilik tidur. Untuk ke bawah, yang luas bukaannya berbanding atas, ada tangga kayu yang menghubungi.
Pada rekabentuk rumah seperti ini, ruang makan biasanya luas di bawah. Dapur kayu terletak di luar rumah. Di sekeliling dapur ini, subur berdiri sepohon pokok jambu air yang senantiasa berbunga apabila kami tiba di rumah nenda. Dapur ini akan senantiasa mengingatkanku akan peyek yang Pah'n'Chek tidak pernah tidak buat untuk Hari Raya. Setiap raya nenda akan bersiap-siap dengan tempahan peyek serta bahulu, yang kami turut sama membantu menyiapkan.
Bilik mandi terletak di luar dan tandas nun dalam 20 tapak di belakang sana, terlalu dekat dengan kebun getah. Cukup senja, kami akan pastikan segala urusan mandi dan sebagainya sudah disiapkan kerana kepekatan malam yang ditemani bunyi-bunyi cengkerik, pasti menakutkan kanak-kanak sekolah rendah seperti adik-adik aku.
Rumah Pah'n'Chek tidak jauh dari rumah adindanya yang lain. Adinda Pah'n'Chek kerjanya memproses getah susu, dijadikan getah kepingan (scrap) untuk dibuat tilam atau kegunaan lain, kata kami, tilam Dunlop! Dulu bonda pun turut menolong Pah'n'Chek menoreh. Bonda katakan dia peroleh kekuatan semangatnya dari Pah'n'Chek, pekatnya malam akan megutip durian di dusun. Pernah juga ada cerita yang harimau muncul di sekitar kawasan tersebut, namun tidak beri kesan apa-apa pada Pah'n'Chek.
Pah'n'Chek kemudian berhijrah ke Ipoh, kerana cucunda yang dibesarkannya mula bekerja di sana. Kerana dimamah usia, nenda mula sakit tua. Namun, nenda jarang nyanyuk, dan pendengarannya masih kuat tatkala usia sebegitu. Nenda kemudian berpindah ke Kuala Lumpur semasa dia sudah semakin sukar berjalan, dan terpaksa berkerusi roda. Semasa aku baru tamat pengajian dan memulakan hidup perantauan di Kuala Lumpur, dua tahun adanya aku tinggal bersama, dengan adikku, dan cucunda nenda.
Masa berlalu begitu pantas, nenda semakin uzur, namun dia masih kental meneruskan kehidupannya. Setelah sekian lama aku tak menziarahinya, baru semalam petang aku pergi juga melihat keadaan nenda. Cucunda Pah'n'Chek cuba perkenalkan aku pada Pah'n'Chek, namun dia hanya boleh melihat, tiada terkata apa-apa. Kederatnya sudah tiada, lantas terus tutup kelopak matanya untuk tidur.
Dalam jam 6 petang kami pulang, dan tidak kami sangka pagi tadi, jam enam pagi tadi, tatkala aku bersiap untuk ke pejabat, cucunda nenda dengan nada teresak-esak, menahan sebak, memberitahu yang nenda sudah tiada. Dia telah pergi ke Rahmatullah.
Pagi tadi bergegas kami ke sana. Turut hadir, rakan taulan nenda dari tempat kerjanya, jiran tentangga, dan turut hadir seluruh keluarga kami dari Ipoh dan Pahang datangnya. Sempat aku bacakan dua surah Yasin untuk ketenangan roh nenda di alam barzakh. Setelah jenazah dimandi, dan dikafan, jemaah seramai lebih kurang 40 orang adanya menyembahyangkan nenda.
SesudahZuhur, jasad nenda selamat disemadikan di perkuran Islam berhampiran Gombak. Aku masih lagi teringat tenangnya raut wajah nenda apabila ikatan kepala dibuka sedikit semasa jenazahnya sudah berada di dalam liang kubur. Aku senantiasa doakan akan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Insya-Allah.
Al-Fatihah untuk nenda.
Comments